Zamihan Beri Tempoh 7 Hari Kemuka Permohonan Maaf

Sharing is Caring!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr. Zamihan Mat Zin al-Ghari memberi tempoh tujuh hari kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT), Malaymail, NSTP dan pemimpin Pakatan Harapan, Zaid Ibrahim untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.
Katanya, beliau akan mengambil tindakan undang-undang tanpa prejudis keatas pihak terbabit jika gagal membuat permohonan maaf tersebut dan menarik balik kenyataan berniat jahat serta berunsur fitnah keatasnya dalam isu dobi muslim di Muar, Johor.

“Saya memandang serius artikel bertajuk ‘Pegawai Jakim Selar Sultan Johor, Bidas Cina Tak Bersih’ yang disiarkan kelmarin. Artikel itu jelas berniat jahat dan berunsur fitnah terhadap saya selain cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan istana berhubung isu dobi muslim.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah. Namun demikian, amat wajar juga disiasat gerakan agenda republik untuk menghapuskan sistem kesultanan oleh segelintir pendakwah liberal di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamihan seterusnya mendakwa niat jahat FMT terserlah apabila mengaitkan beliau sebagai Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam artikel berkenaan sedangkan hampir 13 tahun beliau sudah tidak bertugas di Jakim.

Jelasnya, beliau menyampaikan kuliah agama di masjid berkenaan atas kapasiti sebagai pendakwah dan Presiden ASWAJA, justeru segala kenyataan yang dibuatnya atas kapasiti peribadinya dan tiada kaitan dengan Jakim atau mana-mana jabatan kerajaan.

Berikut kenyataan penuh Zamihan berhubung isu tersebut:

1. Saya memandang serius artikel yang disiarkan Free Malaysia Today (FMT) bertajuk ‘Pegawai Jakim Selar Sultan Johor, Bidas Cina Tak Bersih, yang disiarkan portal berita berkenaan pada Selasa kelmarin.

2. Artikel FMT itu jelas berniat jahat dan berunsur fitnah terhadap saya selain cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan istana berhubung isu dobi muslim. Bahkan FMT juga dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini.

3. Dalam rakaman video yang kononnya dijadikan rujukan FMT saya sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Saya juga tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan. Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah. Namun demikian, amat wajar juga disiasat gerakan agenda republik untuk menghapuskan sistem Kesultanan oleh segelintir pendakwah Liberal di negara ini.

4. Selaku pembentang tajuk: Ancaman Syiah pada sidang Majlis Raja2 kali 323 (31 Okt 2013) saya amat
menghormati dan menyanjung tinggi DYMM Tuanku Sultan. Terutama Tuanku Sultan Johor sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan berpegang teguh dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Adalah mustahil untuk saya menuturkan kata-kata yang bersifat memperlekeh atau menghina DYMM Tuanku Sultan sama sekali. Bagaimanapun saya merafak sembah memohon kemaafan seandainya DYMM Tuanku terasa hati dengan pandangan peribadi saya : Ampun Tuanku.

5. Sebenarnya tajuk artikel yang direka cipta oleh portal FMT jelas berniat jahat bagi menyerang dan memburukkan imej saya selaku Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA). Ini bukanlah kali pertama FMT dan sekutunya mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karekter saya. Posting artikel Malaymail pula memuatkan foto saya seolah2 dalam keadaan menjelir lidah sewaktu menyampaikan ceramah. Saya percaya situasi itu sengaja ditimbulkan bagi mencetus kebencian sesetengah pihak terhadap saya kerana saya seringkali menegur sesetengah pihak dengan tegas dalam isu2 agama.

6. Paling ketara, niat jahat FMT terserlah apabila mereka secara jelas mengaitkan jawatan saya sebagai Pegawai JAKIM dalam artikel berkenaan. Sedangkan saya hampir 13 tahun sudah tidak lagi bertugas di JAKIM. Bahkan kehadiran saya bagi menyampaikan kuliah agama di masjid berkenaan adalah atas kapasiti saya sebagai pendakwah Ahli Sunnah dan Presiden ASWAJA. Maka segala kenyataan dibuat atas kapasiti peribadi saya dan tiada kaitan sama sekali dengan JAKIM atau mana2 Jabatan Kerajaan.

7. Berdasarkan kronologi kes dan fakta diatas jelaslah bahawa tindakan wartawan dan portal ini sebenarnya membuktikan mereka bersikap anti Islam dan tidak menghormati hak dan sensitiviti muslim di negara ini.

8. Oleh itu saya memberi tempoh selama tujuh hari kepada FMT, Malaymail, NSTP dan Zaid Ibrahim untuk menarik balik artikel berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf kepada saya secara terbuka. Jika gagal berbuat demikian saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah saya tanpa prejudis.

9. Saya juga menggesa pihak berkuasa agar menyiasat artikel yang disiarkan FMT dan sekutunya yang jelas berbaur hasutan dan cuba menimbulkan kebencian antara agama serta mencetuskan permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini. – MYNEWSHUB.CC

Dr. Zamihan Mat Zin al-Ghari
Presiden ASWAJA Malaysia
11/10/2017

Sharing is Caring!