Vingada ‘Professor Ciplak’??

Sharing is Caring!

Akhirnya, Nelo Vingada membuktikkan betapa pengecutnya beliau dengan meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Beliau langsung tidak bermaruah apabila mengambil langkah itu. Sekiranya Vingada menganggap diri beliau itu ‘jantan’ maka beliau harus menunggu sehingga dipecat dan bukannya meletakkan jawatan.

Dengan langkah yang diambil itu, maka beliau secara tidak langsung menyindir pemain, penyokong serta pentadbir yang kerap menyokong beliau walaupun jelas bahawa beliau adalah ‘professor ciplak’.

Begitu ramai bekas pemain yang turut menyokong supaya Vingada di kekalkan walaupun daalam perlawanan demi perlawanan jelas kelihatan kelemahan beliau sebagai jurulatih. Beliau disokong dengan alasan bahawa beliau memerlukan masa untuk mengenali pemain pasukan kebangsaan.

Berapa banyak masa yang perlu untuk beliau menganalisa kebolehan atau potensi seorang pemain?

Pada pendapat saya, secara peribadi saya hanya memerlukan dua minit untuk mengenali kebolehan semasa serta ramalan hala tuju potensi pemain individu dan tambahan dua minit lagi untuk memberi nasihat kepada pemain supaya bekerja lebih keras di dalam aspek tertentu.

Hanya dua minit yang perlu untuk mengenali bahawa Kiko Insa memang tiada kaliber beraksi di arena antarabangsa.

Saya yakin sekiranya ditawarkan menjadi jurulatih pasukan Timbuktu maka saya akan tiba dengan segala maklumat yang perlu mengenai eco-sistem bola sepak di situ. Sejarah serta latar belakang setiap pemain dan latar belakang setiap jurulatih di negara itu akan saya perolehi sebelum memulakan tugas.

Setiap perlawanan di bawah bimbingan Vingada pula menunjukkan kecetekkan pemahaman taktik oleh jurulatih yang digelar ‘Professor’. Seorang jurulatih yang mempunyai CV sepanjang lengan dan kaki tetapi buta taktik.

Apakah konsep permainan yang ingin ditekankan Vingada? Dalam perlawanan demi perlawanan kita melihat sebelas pemain diturunkan tanpa menghiraukan kebolehan individu untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan.

Akibatnya, pemain pula yang menerima kutukan sebahagian penyokong serta bekas pemain.

Pemain kita tidak berkualiti menjadi sahutan separuh pihak. Pemain yang di atas padang pula keliru kerana jurulatih kurang bijak. Sesetengah pemain pula beraksi separuh kapasiti sebenar kerana jelas bahawa corak latihan langsung tidak membawa faedah.

Tetapi, Vingada tetap mendabik dada dengan kenyataan bahawa situasi beliau serta jawatan beliau terjamin. Adakala beliau cuba menipu separuh rakyat Malaysia bahawa perubahan sudah mula kelihatan di atas padang?

Bagaimanapun, ada sesetengah pentadbir serta jurulatih tempatan mempercayai kata kata beliau itu.

Sementara itu, pasukan kebangsaan sudah menjadi bahan ketawa tetapi Vingada tetap mendapat sokongan.

‘Beri Vingada masa’ – kalimat itu tetap menjadi laungan sesetengah pihak walaupun kempen kelayakan Piala Asia 2019 sudah menjadi debu!

Mungkin Vingada tidak menyedari bahawa bukan semua rakyat Malaysia boleh ditipu.

Akhir kata, ‘good riddance to bad rubbish.’

Sumber : HM

Sharing is Caring!