Tutup Aurat Di Premis Perniagaan: Negeri Lain Patut Contohi Kelantan, Kata Khairuddin

Sharing is Caring!

BANGI, 12 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Semua kerajaan negeri sepatutnya mencontohi langkah Kelantan yang sejak 1992 telah mengenakan syarat berpakaian menutup aurat terhadap umat Islam di setiap premis perniagaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jika di Kelantan syarat itu dikenakan sebagai peraturan kelulusan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).

Justeru katanya, pihak PBT di seluruh negara juga perlu menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang, seperti kuasa mengeluarkan lesen bagi memastikan kedudukan Islam dan hak umat Islam terus terpelihara.

“Tidak sewajarnya pihak yang tidak menghormati perlembagaan itu dibiarkan untuk terus beroperasi.

“Malah sangat tidak wajar wanita muslim dalam sebuah negara bermajoriti muslim yang perlembagaannya pula meletakkan Islam Agama Persekutuan, tiba-tiba dihalang bertudung dengan alasan remehnya kononnya ia adalah kod berpakaian yang ditetapkan oleh majikan.

“Ia merupakan satu cabaran dan penghinaan terhadap kedaulatan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin turut menyeru para peguam muslim agar ke hadapan dan komited memberikan pembelaan kepada pekerja-pekerja beragama Islam yang dinafikan hak mereka untuk mengamalkan ajaran Islam.

“Kerajaan Persekutuan terutamanya menerusi Kementerian Pelancongan pula mestilah bersikap tegas terhadap pengusaha-pengusaha hotel termasuk membatalkan lesen mereka sekiranya didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji tindakan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor yang mempertahankan hak bertudung wanita Islam dalam negara ini.

“Tindakan pro-aktif ini selari dengan peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada. Perkara 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menyatakan berkenaan larangan diskriminasi dan hak kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama,” katanya.

ismaweb

Sharing is Caring!