Tujuh Direman, Teka-Teki Punca Kebakaran Pusat Tahfiz Bakal Terjawab

Sharing is Caring!

KUALA LUMPUR, 25 Zulhijjah 1438H, Sabtu – Teka-teki di sebalik kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Dato Keramat bakal terungkai dengan penahanan tujuh remaja hari ini.

Daripada tujuh yang ditahan, lima dipercayai penduduk kawasan berhampiran Kampung Dato Keramat yang berusia 16 hingga 18 tahun, manakala tiga lagi pelajar tahfiz berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sumber memberitahu Berita Harian bahawa penahanan dibuat hasil pemeriksaan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat yang menunjukkan perbuatan suspek yang mencurigakan.

“Dalam rakaman itu terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal Yamaha Lagenda membeli minyak petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan.

“Mereka dipercayai menggunakan minyak petrol itu untuk membakar pusat tahfiz berkenaan,” katanya lapor Berita Harian.

Sumber itu berkata, suspek kemudian dipercayai menceroboh masuk pusat tahfiz, dengan membawa naik tong gas, tilam ke tingkat tiga.

“Mereka juga dipercayai mengunci pintu bilik asrama sebelum meletakkan tilam dan menghalakan muncung tong gas ke arah pintu bilik asrama pelajar dan guru sebelum membakar minyak petrol,” katanya.

Setakat ini, siasatan polis yang dikatakan menjurus kepada perbuatan khianat dan balas dendam sedang dijalankan bagi mendapatkan motif sebenar kejadian.

Pagi tadi beberapa pengakuan dibuat oleh suspek terbabit semasa mereka ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

Sementara itu, Harian Metro pula melaporkan bahawa sumber polis berkata, beberapa hari sebelum kejadian, pelajar tahfiz ada mengejek tujuh remaja yang menghisap dadah di kawasan Taman Tasek Datuk Keramat.

Katanya, susulan dari itu, tujuh remaja itu berdendam dengan pelajar tahfiz dan pada hari kejadian, beberapa daripada mereka melompat masuk ke dalam pusat tahfiz itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

“Ya, saya sahkan kesemua penangkapan berkenaan,” katanya ringkas.

Amar Singh berkata maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dibuat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dijadualkan pada 11 pagi esok.

kredit  : ismaweb

Sharing is Caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *