Tidak Dibenarkan Bergambar Didua Buah Masjid

Sharing is Caring!

SHAH ALAM – Kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan larangan bergambar di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah, kepada semua jemaah.

Larangan itu disahkan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas menerima makluman rasmi daripada Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, berdasarkan surat tersebut, penguatkuasaan dikeluarkan bagi memastikan ketenteraman beribadat.

“Larangan dibuat juga bagi mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan dan memelihara kesucian dua masjid berkenaan.

“TH akan memaklumkan larangan tersebut kepada semua bakal haji semasa Kursus Asas Haji yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 2 Disember depan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, penerangan dan nasihat melalui media sosial akan turut dilakukan secara berkala kerana ia lebih cepat serta mudah.

“Jemaah haji Malaysia disarankan mematuhi segala peraturan semasa berada di tanah suci dan terus menjaga nama baik negara berdasarkan pengiktirafan diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai jemaah haji berdisiplin dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal berita tempatan dan antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi melarang pengunjung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengambil gambar atau video bagi melindungi serta memelihara kesucian tempat itu.

Larangan itu juga dibuat supaya tidak mengganggu kelancaran jemaah lain beribadah.

Difahamkan, larangan itu dikeluarkan Kementerian Luar Arab Saudi pada 12 November lalu.
Sinarharian

Sharing is Caring!