Tiada masalah tanpa Safiq Rahim

Sharing is Caring!

Saham pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Nazmi Faiz Mansor semakin melonjak naik sejak kebelakangan ini. Semenjak dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bulan lalu, persembahan Nazmi dilihat semakin meningkat naik dan mendapat perhatian ketua jurulatih JDT, Raul Longhi untuk menurunkan beliau dalam kesebelasan utama.

Pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim menentang PKNS FC minggu lalu, Nazmi Faiz diletakkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan ketua pasukan, Safiq Rahim yang diletakkan di bangsku simpanan. Dan kami boleh katakan persembahan Nazmi dalam perlawanan tersebut memang tidak mengecewakan.

Nazmi berjaya menyumbang satu assist untuk jaringan pembukaan Gonzalo Cabrera pada minit ke-13. Beliau juga cemerlang membantu barisan serangan JDT dengan hantaran dan juga kawalan bola yang sangat baik. JDT juga kelihatan seperti tidak merasai ketiadaan Safiq Rahim di situ kerana adanya Nazmi yang bermain dengan sangat baik.

Kami berpendapat Raul Longhi mengambil satu keputusan yang betul apabila beliau menurunkan Nazmi Faiz dalam kesebelasan utama pada perlawanan tempoh hari. Ini kerana sudah tiba masanya bagi Nazmi untuk menyerlah dan tampil sebagai perancang utama pasukan. Minit bermain dan juga perlawanan yang kompetitif amat penting buat beliau.

Jika Nazmi beraksi dengan baik di peringkat kelab, tidak mustahil beliau juga mampu untuk beraksi baik bersama pasukan kebangsaan. Ketika ini, pasukan kebangsaan sedang melalui satu fasa yang baru dan dalam proses untuk membentuk semula pasukan menggunakan pemain muda.

Jadi amat penting untuk pemain seperti Nazmi Faiz untuk mengekalkan prestasi semasa beliau agar pasukan kebangsaan yang berwajah serba baru ini dapat memberikan cabaran pada perlawanan peringkat antarabangsa di masa yang akan datang.

Apa pendapat anda mengenai prestasi semasa Nazmi Faiz Mansor bersama kelab beliau iaitu Johor Darul Ta’zim ? Adakah Nazmi sudah sedia untuk mengambil tempat perancang utama pasukan, Safiq Rahim yang sudah sekian lama mengisi posisi tersebut ? Atau Nazmi perlukan sedikit masa lagi ?

Sumber : inikanbola.my

Sharing is Caring!