Latar belakang FSR Proton, Zhejiang Geely

Sharing is Caring!

Sementara Geely diterima menjadi rakan strategik asing (FSR) Proton dengan mengambil 49.9% pegangan, rakyat Malaysia masih ramai yang tidak mengenali siapa dan apakah latar belakang syarikat ini. Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd adalah sebuah syarikat automotif global, yang berpusat di Hangzhou, China.

Dalam portfolio jenama mereka sendiri, Geely mempunyai lebih 30 model kenderaan, namun yang disenaraikan dalam laman web mereka sekarang hanya ada 14 model yang terdiri daripada MPV, SUV, sedan mewah dan kompak. Antara nama modelnya adalah Emgrand, Boyue, MK Cross dan GC7. Pada tahun 2016 sahaja, Geely berjaya menjual 765,851 buah kenderaan, dan sasaran tahun ini diletakkan pada 1 juta unit.

Bukan setakat jenama mereka sendiri, Geely juga memiliki beberapa jenama automotif lain, termasuk Volvo dan London Taxi Company. Sudah tentu, yang terbaru adalah pegangan dalam Proton dan juga Lotus, yang telah dilepaskan sepenuhnya oleh Proton. Pada tahun 2016, Volvo, melalui kelolaan Geely telah berjaya menjual 534,332 unit kenderaan – iaitu satu jumlah yang paling tinggi sejak jenama itu wujud.

Selain model kenderaan, Geely juga mempunyai enam enjin mereka sendiri, daripada yang berkapasiti 1.0L, hinggalah 3.5L, dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan DCT.

Prestasi cemerlang Geely sebagai sebuah syarikat terbukti apabila ia disenaraikan dalam syarikat Fortune 500, bermula pada tahun 2012, dan bagi tahun 2016, ia dinilaikan mencatat keuntungan sebanyak 30.4 bilion USD (RM130 bilion). Bagi jumlah pekerja pula, Geely menggunakan khidmat 65,000 pekerja di seluruh dunia.

Anda juga boleh membaca dalam artikel kami sebelum ini, kenapa Geely dipilih sebagai FSR Proton, bagaimana proses pemilihan itu dilakukan, kenderaan Geely yang akan digunakan sebagai platform untuk model yang akan dikeluarkan oleh Proton dan kemudahan Geely di serata dunia, termasuk milik Proton yang akan dijadikan sebagai salah satu daripadanya.

Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd diterajui oleh pengasas, serta pengerusi lembaganya iaitu Li Shu Fu, dan di bawahnya, terdapat ramai lagi individu terkenal yang berkaliber termasuk Daniel Li Ding Hui sebagai ketua pegawai kewangan dan timbalan presiden Geely, Carl Peter Edmund Moriz Forster, Nathan Yu Ning, Peter Horbury, Ang Cong Hui dan Hakan Samuelsson.
Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan’ ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

Sharing is Caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *