Khairul Fahmi mungkin berpindah keluar

Sharing is Caring!

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, kini di bawah radar Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam usaha persatuan itu menguatkan skuad Warga Kota pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan depan.

Posisi penjaga gol kini menjadi perhatian jurulatih, Fabio Joaquim Maciel, bagi memperkuatkan pasukannya.

Aksi tidak menentu Kamarul Effendi Abdul Rahim serta kekurangan pengalaman Khatul Anuar Abdul Jalil selaku benteng akhir, menyaksikan Khairul Fahmi sebagai calon terbaik menguatkan pasukan.

 

 

Bagi Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, usaha membawa Khairul Fahmi kini masih di peringkat awal dan pemain itu juga perlu mendapat kebenaran Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk berhijrah.

“Jurulatih ada berbincang dengan kami, dia berminat apabila mendengar Khairul Fahmi teringin (datang ke sini).

“Kalau Khairul Fahmi berminat, kami tiada masalah. Tetapi, kami perlu bincang dengan KAFA sebab ia penting,” katanya.

Dalam pada itu, Nokman mengesahkan Kuala Lumpur akan hanya menukar seorang pemain import pada jendela perpindahan kedua bulan depan.

Katanya, pemain tengah menyerang, Junior Aparecido Guimaro de Souza, adalah pemain yang bakal diganti.

“Junior itu sudah pasti, dari awal lagi saya sudah cakap. Kami memang terpaksa tukar beliau. Kalau kami simpan, kami ada masalah. Buat masa ini, kami keluarkan seorang dahulu.

“Kalau keluarkan dua pemain, ia melibatkan perbelanjaan (besar). Junior akan ditukar dengan pemain baru yang gajinya lebih rendah,” katanya lagi.

kredit:- stadium astro

Sharing is Caring!