“Kereta Saya Digesel, Dia Marah Kata Saya Bodoh”

Sharing is Caring!

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial rakaman kekecohan melibatkan sekumpulan lelaki dengan beberapa penduduk di perumahan Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, sejak semalam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Erziati Erni mendakwa kejadian tersebut berlaku selepas kumpulan lelaki yang dipercayai bukan penduduk di kawasan itu bergaduh dengan abang iparnya.

Ia ekoran tindakan mereka meletakkan kereta di laluan sekitar perumahan tersebut.

Menurut Erziati, pemandu kereta jenis Toyota Hilux itu bertindak menggeselkan keretanya yang diparkir seketika ketika sedang mengambil anak dari rumah abang iparnya.

Erziati yang pada awalnya berdiam diri akhirnya terpaksa mempertahankan diri apabila dua lelaki itu mula memaki hamun dan mengatakan dia perempuan bodoh.

“Kereta saya kena gesel, dia marah kata saya perempuan bodoh sebab parkir di situ. Saya pandang sekeliling semua orang pun parkir di situ.

“Biasalah di kawasan perumahan Flat Seri Perak ini, tetapi bila manusia tak normal (mabuk), benda boleh selesai cara baik pun boleh jadi besar.

“Dia cuba keluar dari simpang dan gesel kereta saya. Saya hanya buka tingkap cakap, ‘kalau tak lepas, bagi saya alihkan kereta dulu.

“Tapi dia maki-maki, hamun-hamun saya kata saya perempuan bodoh sebab parkir di situ sedangkan saya ada dalam kereta menunggu anak-anak saya turun dari rumah abang ipar,” tulisnya di laman Facebook pada Rabu.

Tambahnya, keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang lelaki berbaju hitam bertindak merakam video dan nombor plat keretanya dan menggugut mahu menularkan rakaman tersebut, sambil berkali-kali menggelarnya ‘perempuan bodoh’.

“Saya tak cakap pun awak bodoh. Tak apalah, cakaplah apa yang you nak cakap. Saya cuma nak ambil gambar nombor plat kereta awak saja.”

Mendengar kata-kata Erziati, lelaki itu mula rasa tercabar sebelum pemandu kereta itu keluar dan mula melakukan provokosi termasuk mengugut mangsa untuk tularkan muka dan nombor keretanya.

Disebabkan situasi semakin tegang dan bimbang keselamatan mangsa, abang ipar datang membantu dan berlaku pergaduhan antara mereka. Mujurlah, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam.

Namun, Erziati mendakwa sebelum kumpulan lelaki  berkenaan beredar dari tempat kejadian, suspek berbaju hitam bertindak menyembur pemadam api ke arah orang ramai yang berada di situ.

“Boleh pula yang berbaju hitam itu sembur debu pemadam api pada semua yang ada di situ sebelum pecut laju, habis putih melepak semua yang membantu tadi dengan debu pemadam apa 😅,” katanya.

Difahamkan, selain kereta mangsa, sebuah lagi kereta dipercayai milik penghuni kawasan perumahan tersebut turut dilanggar oleh suspek.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung insiden tersebut untuk tindakan lanjut.

Rata-rata pengguna Facebook meluahkan rasa kecewa berhubung insiden tersebut dan berharap mana-mana pihak tidak mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur perkauman. – MYNEWSHUB.CC

Sharing is Caring!