JDT lawan bukan calang-calang pasukan

Sharing is Caring!

PERSIAPAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak tidak berdepan masalah tatkala kesemua pemain bebas daripada kecederaan apabila melayani kunjungan Pahang menjelang suku akhir kedua, Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat ini.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Raul Longhi menegaskan, tempoh latihan empat hari berjalan lancar dengan fokus membentuk taktikal ampuh dan memperbaiki kelemahan ketika menentang PKNS FC, Sabtu lalu.

Katanya, semua pemain diberikan rehat pada Ahad lalu selepas mengharungi jadual perlawanan padat dengan aksi Piala AFC dan seterusnya saingan Liga Super sebelum kembali menyambung latihan, Isnin lalu.

 

 

“Kita menumpukan latihan taktikal dan pemain begitu komited kerana mereka tahu aksi menentang Pahang dalam saingan Piala FA ibarat pentas `final’, apatah lagi beraksi di laman sendiri.

“Saya akui kita akan berdepan lawan yang sukar memandangkan Pahang bukan calang-calang pasukan kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri.

“Tetapi dalam bola sepak jika kita mmeberi persembahan terbaik dan fokus, tidak mustahil kita mampu melakar kemenangan namun harus berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan mudah.

“Ketika aksi suku akhir pertama di Kuantan, keputusan seri 0-0 dan sudah tentu aksi di Larkin menjadi penentu dan kami harus membuat persiapan rapi dan memberi keyakinan kepada pemain untuk turun melebihi 100 peratus dan memburu satu atau dua gol bagi mencipta kemenangan,” katanya.

Longhi menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas PKNS FC, nyata melonjakkan moral pemain yang kembali pulih selepas tewas 0-4 kepada Persija Jakarta dalam saingan Piala AFC.

Malah, beliau optimis kelibat penyerang tempatan, Ahmad Hazwan Bakri dan Safawi Rasid bakal memberi sumbangan penting ketika berdepan skuad kendalian Dollah Salleh yang gemar beraksi dengan corak serangan pantas.

“Kita tetap bersedia jika perlawanan berlanjutan sehingga masa tambahan atau sepakan penalti, tetapi kalau boleh saya mahu ia berakhir dalam tempoh 90 minit dan memihak kepada JDT,” kata Longhi.

kredit:- HM

Sharing is Caring!