Ibu Dipercayai Lacur Dua Anak Ditahan

Sharing is Caring!

JOHOR BARU: Seorang wanita berusia 39 tahun ditahan dekat sini kerana didakwa memaksa dua anak perempuannya berusia lapan dan 10 tahun menjadi pelacur.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata wanita menganggur itu dipercayai memaksa dua anaknya untuk memberi perkhidmatan seksual kepada tiga lelaki warga Bangladesh.

Katanya siasatan awal mendapati wanita itu membawa dua anaknya ke sebuah hotel bajet di Larkin untuk melakukan perbuatan terkutuk itu sejak bulan lalu.

Beliau berkata wanita itu akan menerima RM50 setiap kali anak-anaknya dilacurkan.

Jelas Mohd Khalil, hasil maklumat orang awam, polis telah menahan wanita itu pada 25 Oktober lalu di Taman Bintang, Senai.

“Dua anak perempuannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan sebelum dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tindakan susulan,” katanya pada sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana cuba menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Polis turut menyiasat kes itu dibawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dan pemerdangan kanak-kanak,” katanya.

Tegas beliau, polis turut mengesan tiga lelaki warga Bangladesh yang terlibat dan menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan perkara itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Sumber :  mstar

Sharing is Caring!