FELDA United nafi sambil lewa

Sharing is Caring!

FELDA United menafikan segala dakwaan yang mengatakan kelab itu bersikap sambil lewa dalam permohonan lesen seperti ditetapkan dan bertegas segala keperluan sudah dilengkapkan.

Timbalan Presiden Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC), Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, pihaknya akur dengan penyingkiran kelab itu ke Liga Perdana dan hukuman itu tidak akan melunturkan semangat pasukan.

“FUFC memandang serius tentang keputusan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang tidak membenarkan FELDA United untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018 kerana tiada lesen kelab.

“Pengurusan kecewa tetapi akur dengan keputusan tersebut dan tekad untuk memberikan saingan terbaik dalam Liga Perdana bagi memastikan FELDA United kembali ke saingan Liga Super 2019.

“FELDA United menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh pasukan tidak melakukan audit bagi kewangan kelab. Sebenarnya FELDA United sangat komited dan menyokong penuh pelaksanaan Perlesenan Kelab Liga Malaysia dalam usaha ke arah pengurusan bola sepak yang profesional,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan tindakan menyingkirkan FELDA United ke Liga Perdana musim depan adalah hukuman yang harus diterima ekoran sikap sambil lewa pengurusan kelab itu.

FELDA United dikatakan gagal melengkapkan keperluan F.02, Penyata Kewangan Untuk Tempoh Interim yang direviu (tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2017) yang perlu memenuhi keperluan pendedahan minimum dan prinsip perakaunan serta perlu direviu atau diaudit oleh juruaudit bebas serta mesti merangkumi reviu kewangan oleh pengurusan.

Menerusi kenyataan itu juga, FELDA United menegaskan sudah menghantar semula Laporan Kewangan Interim (Pengurusan Akaun) yang telah disahkan oleh juruaudit selepas menerima arahan untuk berbuat demikian.

“Kegagalan untuk mendapat lesen kelab ini tidak bererti pengurusan FELDA United bersikap sambil lewa dan tidak menghormati mana-mana pihak terbabit.

“FELDA United juga tidak pernah gagal mengaudit akaun serta sentiasa menjaga kebajikan pemain dan tidak pernah menghadapi masalah gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya. –hmetro

Sharing is Caring!