Cari Bapa Kandung Untuk Tinggal Dengan Bapa Tiri

Sharing is Caring!

MUAR: Dua beradik dari Bukit Pasir, Pagoh di sini, memohon bantuan orang ramai untuk mengesan bapa kandung mereka yang merupakan warganegara Indonesia bagi memudahkan proses pengambilan anak angkat.Ima Rismawanty Miduwan, 17, berkata, dia dan adiknya berusia 10 tahun memerlukan kebenaran daripada bapa kandung mereka untuk dijaga bapa tiri seperti diminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia, adik dan ibunya, Imas Itang, 46, terputus hubungan selepas bapa mereka, Miduwan Sulaiman, 51, menghilangkan diri pada 2009.

“Terakhir kali kami berhubung dengan bapa pada 2009 ketika menetap di Ulu Tiram, Johor Bahru. Masa itu ibu masih mempunyai hubungan dengan bapa. Namun selepas bercerai, bapa sudah tidak muncul lagi sehingga hari ini.

“Ibu juga sudah berkahwin dengan lelaki tempatan dan keadaan itu menyebabkan bapa tiri perlu mendapat kebenaran daripada bapa kandung saya untuk proses mengambil anak angkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ima Rismawanty berkata, disebabkan ibu bapa kandungnya adalah warganegara Indonesia, dia dan adiknya mengalami kesukaran untuk berurusan di negara ini.

“Ketika ini, kami hanya gunakan pas pelajar bagi membolehkan kami menetap di Malaysia.

“Selepas tamat sekolah nanti, pas berkenaan tidak boleh lagi digunakan dan saya perlu pulang ke Indonesia jika tidak memperoleh kerakyatan,” katanya.

Katanya lagi, dia percaya bapanya yang berasal dari Palembang, Indonesia masih lagi berada di negara ini dan pekerjaan terakhirnya adalah sebagai buruh binaan.

Sehubungan itu, mana-mana individu ataupun waris keluarga yang mengenali Miduwan boleh menghubungi bapa tirinya, Mahad di talian 019-710 7969.

Sumber : mstar

Sharing is Caring!